Friday, September 25, 2009

Mengapakah Penduduk Di Negara Ini
Tidak Mempedulikan Kewujudan Badan Kebajikan?
Di negara kita terdapat banyak badan kebajikan atau dikenal juga sebagai sukarela. Sesuai dengan namanya, iaitu badan sukarela, maka anggotanya melakukan pelbagai aktiviti secaara sukarela. Lazimnya sesebuah badan sukarela memainkan peranan dalam sesuatu bidang yang khusus seperti menjalankan aktiviti yang bertujuan menjaga kepentingan pangguna di negara ini. Masalah yang timbul kini ialah mengapakah orang ramai tidak begitu berminat untuk menyertai pelbagai badan kebajikan yang terdapat di negara ini?
Sejak kebelakangan ini semakin banyak anggota masyarakat yang bersikap mementingkan diri sendiri. Bagi golongan ini, apa sahaja tindakan yang akan diambil mestilah mengambil kira kepentingan diri mereka. Jika sesuatu aktiviti ini mengganggu kepentingan mereka, mereka tidak akan melakukannya. Misalnya, mereka tidak mahu mengganggu waktu berehat, makan angin, atau membeli-belah semata-matanya untuk melibatkan diri dalam kerja kebajikan walaupun dia tahu kerja kebajikan itu sangat baik. Mereka sedar bahawa menyertai kegiatan gotong-royong untuk membantu warga tua perbuatan yang mulia tetapi mereka enggan mengorbankan masa senggang mereka semata-mata untuk menyertai kegiatan kebajikan itu.
Kebanyakan orang zaman sekarang sangat mementingkan keuntungan dalam hidup mereka. Dalam apa-apa juga tindakan yang diambil, perkiraan utama golongan ini adalah keuntungan yang bakal diperoleh. Sekiranya tindakan itu tidak memberi sebarang keuntungan peribadi, mereka enggan melibatkan diri. Dalam hubungan ini, sudah tentulah mereka tidak akan menyertai kegiatan sukarela yang dianjurkan oleh pelbagai badan kebajikan kerana kegiatan ini tidak membawa sebarang keuntungan peribadi. Malah, orang yang melibatkan diri dalam kegiatan itu selalunya akan mengorbankan sebahagian wang mereka di samping mengorbankan tenaga dan masa.
Orang zaman sekarang terlalu sibuk bekerja untuk mengumpulkan wang bagi menyediakan perbelanjaan hidup diri sendiri dan keluarga yang terus meningkat. Orang-orang dalam golongan ini mempunyai kesedaran tentang pentingnya menyertai kegiatan kebajikan tetapi tuntutan hidup memerlukan mereka menggunakan sebahagian besar waktu merekauntuk bekerja tidak kira siang atau malam. Akibatnya, mereka tiada masa untuk menyertai sebarang kegiatan sukarela anjuran pelbagai badan kebajikan. Misalnya, mereka bekerja kuat sepanjang hari atau sesetengahnya terpaksa meninggalkan keluarga dan balik pada hujung minggu. Pada hujung minggu itulah mereka mahu bersama dengan keluarga.Oleh sebab itu, jika badan-badan kebajikan membuat aktiviti pada hujung minggu, mereka tidak akan menyertainya.
Sesetengah baadan kebajikan gagal mengadakan aktiviti yang dapat menarik minat orang ramai. Selain itu, promosi sesuatu tidak dijalankan secara meluas. Akibatnya, tidak banyak orang mengetahui kegiatan itu. Sesetengah badan kebajikan melakukan kegiatan yang sama, iaitu mengadakan aktiviti sacara gotong-royong atau mendermakan darah. Tidak banyak orang yang suka memberikan sumbangan tenaga untuk membersihkan kawasan atau memberikan sumbangan darah. Namun begitu, jika badan kebajikan dapat mengadakan aktiviti yang lebih menyeronokkan, umpamanya sukaneka atau hari keluarga di sesebuah taman perumahan, penyertaan daripada anggota masyarakat lebih menggalakan. Dalam aktiviti seperti itulah kutipan derma dapat dilaksamanakan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan, misalnya anak-anak yatim atau orang tua-tua.
Satu faktor lagi yang menyebabkan orang enggan melibatkan dalam kegiatan kebajikan ialah mereka beranggapan bahawa mereka mampu hidup berdikari tanpa bantuan sesiapa. Dengan tanggapan begitu yang tersemat di jiwa, mereka tidak akan menyertai mana-mana badan kebajikan kerana mereka tidak memerlukan bantuan daripada badan-badan tersebut. Misalnya, mereka enggan menyertai kegiatan Rukun Tetangga kerana mereka mampu menyediakan pengawal untuk menjaga keselamatan mereka dan kaum keluarga mereka.
Sebagai kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini sewajarnya membentuk satu permuafakatan untuk merancang kegiatan yang lebih terancang dan mampu menarik orang ramai untuk menyertainya. Dengan adanya permuafakatan itu, mereka boleh memohon kepada pihak kerajaan supaya memberi sumbangan wang bagi menggerakkan aktiviti mereka secara lebih aktif dan berkesan.

1 comment:

  1. Hello Kitkit,

    cikgu sudah menyemak karangan anda ini. Sila rujuk blog smkyukkwan.blogspot.com untuk membaca penambahbaikan karangan anda.

    sekian, terima kasih

    ReplyDelete