Friday, September 25, 2009

Usaha-usaha Membendung
Masalah Pengangguran
Pengangguran memberi maksud individu yang tidak mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan tetap. Secara tepat, mereka yang cuba mencari pekerjaan cecara aktif tetapi gagal dianggap sebagai pengangguran. “Kadar pengangguran” pula ialah jumlah penganggur dibahagi dengan jumlah tenaga kerja, sama ada menganggur ataupun tidak. Kita akui,mereka yang menganggur ini, sama ada lepasan SPM ataupun memilih ijazahdaripada pusat pengajian tinggi akan menimbulkan masalah kepada negara. Jika tidak mempunyai pekerjaan, bagaimana mahu membantu diri sendiri dan keluarga? Lalu, kita boleh mentafsirkan bahawa orang yang tidak mempunyai pekerjaan, sudah pasti diri akan berasa hina. Hina kepada diri sendiri dan hina kepada masyarakat.
Bagi mengatasi masalah pengangguran ini, kita jangan bersikap memilih pekerjaan. Walaupun kita mempunyai ijazah, janganlah mengharapkan pekerjaan di bilik hawa dingin. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, rebut dahulu pekerjaan yang ada, walaupun terpaksa bekerja sebagai buruh kasar. Sekiranya tidak memperoleh pekerjaan kerana kurangnya kemahiran, tambahkan ilmu di dada. Kini banyak pusat latihan yang boleh diperoleh secara percuma. Dengan kemahiran penuh di dada, banyak pekerjaan yang boleh kita pohon. Selain itu, tambahkan kemahiran berbahasa. Banyak syarikat menghendaki pekerja mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, selain bahasa ibunda. Sekiranya itu sudah menjadi syarat yang ditetapkan oleh majikan, jangan kita salahkan sesiapa, sebaliknya kita sahut cabaran dengan mendalami bahasa-bahasa asing.
Ibu bapa juga berperanan penting untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pekerjaan. Sebagai orang tua, sewajarnya menunjuk arah akan kerja anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah memikirkan kursus yang bakal diikuti oleh anak sebelum melangkah ke pusat pengajian tinggi menjamin peluang pekerjaan. Pada waktu yang sama, ibu bapa janganlah mengharapkan anak memperoleh pekerjaan seperti yang dimimpikan. Cara paling sesuai ialah, biarlah anak menentukan masa depan mereka sendiri.Ibu bapa juga janganlah mengharapkan kerjaya anak mereka lebih baik dengan pekerjaan yang disandang sekarang. Janganlah berasa rendah diri sekiranya anak mereka mempunyai pekerjaan yang bergaji rendah dan kurang berprestij. Apa-apa juga pekerjaan yang dilakukan oleh anak mereka perlu diterima dengan rasa syukur, sebab anak-anak mencari rezeki yang halal, tidak menyalahi hokum agama dan undang-undang negara.
Sekolah merupakan tempat awal kita sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. Oleh itu, guru berperanan penting mendidik pelajar menjadi modal insan yang sempurna. Apabila modal insan yang dijana menjadi kenyataan, sudah pasti para pelajar yang keluar dari bangku sekolah akan mampu mencipta pekerjaan yang diingini. Malahan, guru juga perlu menekankan akan pentingnya berdisiplin apabila menamatkan alam persekolahan. Dengan disiplin yang menebal di jiwa, sudah tentu majikan akan mengal-alukan remaja seperti itu bekerja di syarikat mereka.
Kerajaan juga berperanan mewujudkan keamanan negara untuk memastikan para pelabur mahu menanam modal di Malaysia. Apabila banyak pelabur menanam modal di Malaysia, ekonomi akan berkembang dan sudah tentulah peluang pekerjaan akan bertambah masalah pengangguran pun dapat dikurangkan. Pada waktu yang sama, Kementerian Sumber Manusia perlu menyekat hasrat syarikat di Malaysia untuk mengambil pekerja asing bekerja di Malaysia yang telah mengancam peluang remaja bekerja di sektor perkilangan dan perladangan. Kita tidak mahu dikatakan kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan. Pada waktu yang sama, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menekankan kepada pengajian tinggi agar menawarkan kursus yang sesuai dengan kehendak pasaran kerja. Walaupun kita akui peranan university dapat mencambahkan minda, namun semuanya tidak membawa sebarang erti sekiranya graduan yang dihasilkan tidak mampu melangkah ke alam pekerjaan. Kita juga mengharapkan universiti dapat mendidik mahasiswa untuk menerokai pekerjaan apabila memiliki ijazah, bukan sekadar mengharapkan pekerjaan menanti kedatangan mereka.
Sesungguhnya, masalah pengangguran walaupun tidak boleh diatasi 100 peratus, namun kadar pengangguran boleh dikurangkan dari semasa ke semasa. Semuanya berkait dengan peranan individu, keluarga, masyarakat, sekolah, kerajaan, dan negara-negara luar. Dalam sesebuah negara yang maju tidak patut wujud keadaan satu golongan lagi tercicir.Pengangguran akan mewujudkan ketidaksaksamaan kekayaan dan cara hidup masyarakat yang boleh mencetuskan masalah social. Bagi yang sudah bekerjalah bersungguh-sungguh, bukan sekadar bekerja untuk memperoleh gaji.

No comments:

Post a Comment