Friday, September 25, 2009

Pergaulan Bebas
Pergaulan bebas di kalangan remaja semakin meruncing dan menjadi topik perbualan hangat di kalangan masyarakat. Isu ini sering menghiasi dada akhbar. Fenomena yang sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat ini dapat memberikan satu persepsi kelekaan dan kealpaan masyarakat terhadap tanggungjawab mendidik, mengasuh dan membimbing generasi hari ini. Seandainya langkah-langkah yang efektif tidak diambil, nescaya keadaan ini akan meranapkan impian Malaysia mencapai hasrat Wawasan 2020.
Pada zaman yang serba canggih, banyak kemudahan yang membantu remaja mencari kenalan. Antaranya ialah internet yang memudahkan remaja mencari kenalan melalui e-mail, ruangan sembang(chat room) dan sebagainya. Fenomina ini lebih berbahaya kerana remaja tidak mengenali identity sebenar rakan maya itu. Kebarangkalian untuk remaja terjebak ke dalam kancah pergaulan bebas adalah lebih tinggi.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada pergaulan bebas ialah taraf hidup yang tinggi. Keadaan ini membolehkan remaja membelanjakan wang ringgit untuk mendapatkan hiburan seperti menonton wayang, mengunjungi kafe siber, menghabiskan masa di pusat permainan video dan pusat membeli-belah.
Selain itu, sikap ibu bapa yang terlalu liberal juga mendorong pergaulan bebas di kalangan remaja. Terdapat ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka keluar rumah hingga larut malam dan sesetengahnya pula tidak ambil peduli aktiviti yang dilakukan oleh anaknya di luar rumah.
Bagi membendung masalah ini, kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kehidupan ikan di laut, walaupun hidup dalam air masin namun dagingnya tetap tawar. Maksudnya, jika para remaja ini dibekalkan dengan pengetahuan agama yang secukupnya, mereka mampu mengawal diri daripada terjebak dalam masalh sosial walau mereka berada. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang proaktif dan menjadikan agama itu sebagai ‘Way of Life’.
Penguatkuasaan undang-undang di tempat-tempat awam oleh pihak berkuasa secara konsisten mampu memberi kesedaran kepada remaja agar menjaga tatasusila dalam pergaulan mereka untuk menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti kes cabul dan rogol.
Kesimpulannya, remaja merupakan teras kepada pembangunan negara pada masa depan. Oleh itu, masalah pergaulan bebas ini patut ditangani bagi memastikan golongan ini hidup di landasan yang betul.

No comments:

Post a Comment